Nilai Wang Kertas Peringatan RM600, RM60 Uncut Dan RM60 Terkini

Pengumpul Wang ‘Money Collector’ di Malaysia pasti nak tahu Nilai Wang Kertas Peringatan RM600, RM60 Uncut Dan RM60 Terkini. Nilai wang ini, pada mulanya dijual dengan harga hanya sekitar RM1,700, RM500 dan RM120 mengikut cabutan pada awal bulan Mac 2018 yang lalu. Yang berjaya mendapatkan wang kertas peringatan ini, pasti akan gembira kerana nilainya semakin naik, bila mana Gabenor Muhammad Ibrahim disahkan meletak jawatan pada minggu lepas.

Ini bermakna, Wang Kertas Peringatan ‘Commemorative Banknotes’ akan menjadi lebih bernilai kerana ia terhad, koleksi unik dan punyai tandatangan Gabenor Mohammad Ibrahim yang sangat sedikit berbanding Gabenor Bank Negara yang lain.

Nilai Wang Kertas Peringatan RM600
 
Nilai Wang Kertas Peringatan RM600 Commemorative 03
 

Harga tertinggi untuk nilai Wang Kertas Peringatan RM600 ialah sebanyak RM78,000 dengan mempunyai no siri MRR0000088 di satu lelongan berasingan di Sasana Kijang Bank Negara.

Namun setakat hari ini, mengikut apa yang MrJocko lihat dan survey, Nilai Wang Kertas Peringatan RM600 (RM600 Commemorative Banknotes) mencecah hingga nilai RM8,888, berbanding harga jualan asal RM1,700. Nilai muka wang ini masih lagi RM600, namun, untuk peminat dan pengumpul wang kertas peringatan ini, harga sudah pasti lebih tinggi berbanding harga asal.

MrJocko ada satu set dan kalau ikutkan No Siri Wang Kertas Peringatan RM600 ini, mungkin ia boleh dijual sehingga mencecah RM8000.
 

Nilai Wang Kertas Peringatan RM600
 

Untuk info semua, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena dengan Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Wang kertas peringatan ini dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V di Muzium dan Galeri Seni, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Wang kertas ini memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Wang kertas peringatan ini merupakan tanda penghormatan terhadap sumbangan Majlis (kemudiannya dikenali sebagai Persidangan) Raja-Raja yang merintis jalan ke arah merealisasikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Perjanjian bertarikh 5 Ogos 1957 yang mengisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara pihak Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-raja Melayu dari Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu dengan Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, yang mewakili Queen Elizabeth II. Perjanjian ini menjadi bukti perlembagaan yang bersejarah bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
 

Nilai Wang Kertas Peringatan RM600

Nilai Wang Kertas Peringatan RM600
 

Spesifikasi wang kertas peringatan ini adalah seperti berikut:

Wang Kertas Sekeping RM600 (RM600 Note)
Nilai muka wang kertas bersaiz besar ini ialah RM600 dan harga jualannya RM1,700 sekeping. Sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.

Wang Kertas Bercantum 3 dalam 1 RM60 (RM60 Uncut)
Nilai muka wang kertas bercantum ini ialah RM180 dan harga jualannya RM500 sekeping. Sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.

Wang Kertas Sekeping RM60 (RM60 Single
Nilai muka wang kertas sekeping ini ialah RM60 dan harga jualannya RM120 sekeping. Sebanyak 60,000 keping sahaja dicetak.

Reka Bentuk Wang Kertas

Reka bentuk wang kertas peringatan ini berdasarkan tema “Raja Payung Kedaulatan Negara”. Wang kertas peringatan ini adalah yang pertama dicetak oleh Bank Negara Malaysia menggunakan bahan substrat komposit, iaitu gabungan substrat polimer dan kertas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih panjang. Wang kertas peringatan ini dicetak lebih besar, mengikut nilai muka wang tersebut.

Reka Bentuk Hadapan

Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan. Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja.

Reka Bentuk Belakang

Reka bentuk bahagian belakang wang kertas peringatan ini memaparkan potret sembilan Raja-raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Kesemua wang kertas peringatan ini dihiasi dengan gambar tokoh-tokoh dan ciri-ciri penting yang berkaitan dengan kemerdekaan. Pada bahagian kanan wang kertas ini terdapat bayangan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan arkitek Kemerdekaan Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Terdapat empat mercu tanda penting yang dicetak pada latar belakang wang kertas ini: Istana Negara, Perdana Putra, bangunan Parlimen dan Istana Kehakiman yang masing-masing mencerminkan empat tonggak negara: Institusi Pemerintahan Beraja, Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman.

Baca : MrJocko dan Collector Items

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.