Ini Dia Wajah Baru Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur
|Selepas ditutup kepada orang awam selama beberapa bulan, akhirnya Taman tasik Terbesar di Kuala Lumpur dibuka kembali secara rasmi pada 15 Disember 2019. Ini dia Wajah Baru Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur yang telah menjadi viral sejak beberapa bulan yang lalu. Ia umpama kelahiran baru Taman Tasik yang menjadi lagenda ibukota KL.
Taman Tasik ini telah ditutup pada September 2018 dan kembali dibuka selepas 14 bulan diubahsuai dan ditambahbaik untuk kegunaan penghuni Kuala Lumpur. Dari setiap sudut taman ini, ia sudah diubahsuai, hampir 60% dengan tarikan utama taman dan juga kolam mandi kanak-kanak.
Baca : Makan Malam di Char Kuey Teaw Sani Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur
Wajah Baru Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur
Pertama kali MrJocko datang ke Kuala Lumpur tahun 1994, inilah juga lokasi pertama kami singgah untuk makan tengahari. Masa tu, tak banyak kemudahan yang disediakan di taman tasik ini, berbanding apa yang ada sekarang. Apa yang ada sekarang jauh lebih baik dan lebih cantik berbanding 25 tahun yang lepas.
Paling ketara adalah lokasi berdekatan dengan Restoran D’Saji KL Titiwangsa (dahulu dikenali dengan nama Restoran Nelayan Titiwangsa). Ia jauh lebih cantik dengan tambahan ruang permainan awam untuk kanak-kanak dan juga kolam mandi awam untuk kanak-kanak yang sangat cantik dan PERCUMA.
Baca : Taman Tasik Titiwangsa VisitKL
Oleh kerana ia sebuah taman tasik untuk aktiviti riadah, laluan trek untuk larian masih lagi menjadi keutamaan. Dengan adanya satu lagi ruang tambahan adalah laluan berbasikal dan juga mereka yang menggunakan kasut roda atau skateboard. Ia nampak lebih cantik dan teratur.
Di ruang berhadapan dengan Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur, ia ada ruang yang luas di bahagian Astaka untuk mereka yang sukakan aktiviti lapang dan juga ruang untuk disewa bagi tujuan aktiviti persendirian atau awam. Ini semua diuruskan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Setelah ia mula dibuka pada Ahad 15 Disember 2019 yang lalu, sudah 2 kali kami ke sini dan sememangnya ia destinasi aktiviti riadah terbaik di Kuala Lumpur. Lagipun, secara peribadi saya berani kata ia adalah antara Taman Tasik Terbaik di Kuala Lumpur.
Tidak ada alasan lagi untuk warga kota aktif dalam riadah dengan kemudahan terbaik dari Taman Tasik Titiwangsa ini. Ruang laluan trek larian yang cantik dan berkualiti, luas, kemudahan tandas yang banyak dan selesa, ruang permainan yang banyak untuk dewasa dan kanak-kanak, termasuk banyak ruang untuk parkir kenderaan kereta dan motorsikal.
Lebih menarik, aktiviti sampingan seperti Aktiviti Menunggang Kuda dan Menaiki Kereta Kuda turut disediakan di sini dengan harga tiket yang sangat murah. Nak tahu? Tunggu di entry selepas ini…