Site icon Travel Blogger Malaysia

Karnival DesaStay Johor Tarik Lebih Ramai Pelancong

Sesuatu yang unik kini ada di Johor. Ia satu produk pelancongan terbaru berasaskan kehidupan kampung untuk semua pelancong samada untuk pelancong luar negara atau pelancong dalam Malaysia. Ia dikenali dengan konsep ‘DesaStay’ dan kali ini MrJocko bersama rakan media ke Batu Pahat sempena dengan Pelancaran rasmi Karnival DesaStay Johor.

Tidak seperti konsep pelancongan kampung sebelum ini, DesaStay menyediakan bukan hanya penginapan, tetapi menawarkan pakej aktiviti dan cara hidup bersama orang kampung dalam pakej mereka.

Karnival DesaStay Johor

Karnival DesaStay Johor

Untuk projek kali ini, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 32 kampung di negeri ini yang berpotensi untuk dijadikan ‘DesaStay’ sebagai satu lagi langkah menjadikan Johor sebagai satu destinasi pelancongan utama negara.

Ini satu pendekatan inovatif Kerajaan Negeri dalam industri pelancongan yang bertujuan memenuhi beberapa matlamat penting, agar pelancong punya peluang memahami kehidupan kita yang damai, unik dan saling bermuafakat.

“Bukan sahaja para pelancong dari luar negara, percayalah, ramai sekali generasi millennials Malaysia yang barangkali tak pernah hidup di desa. Ramai yang lahir di bandar, membesar di bandar, bersekolah dan bekerja di kota dan ibu bapa mereka telah lama meninggalkan kampung halaman mereka” Dato’ Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor.

MrJocko setuju dengan pandangan Menteri Besar Johor bahawa golongan sasaran yang utama ialah dari pelancong tempatan yang belum pernah merasak kehidupan di kampung dan desa.. Kebanyakan mereka inginkan kelainan. Suasana yang damai, suasana yang mengusik nostalgia.

Selain itu, DesaStay akan membuka peluang untuk pengunjung mengetahui dan memahami agama, adat resam, makanan dan budaya masyarakat Johor, selain memberi lonjakan baru kepada kampung terlibat.

Konsep DesaStay Johor inilah yang mungkin akan mengekalkan panorama kampung tetap akan kekal sebagai kampung yang indah. Ia harus kekal sebagai desa yang aman dan semula jadi, tidak perlu untuk dimodenkan.

Inisiatif seperti DesaStay itu juga membolehkan penduduk kampung mempunyai sumber pendapatan tambahan dengan pendapat dari sewa rumah dan juga aktiviti yang ditawarkan.

Dengan sebab itu, Kerajaan Negeri dalam perancangan bajet untuk tahun akan datang akan cuba melihat peruntukkan yang sesuai untuk diagihkan kepada projek DesaStay Johor ini.

Aktiviti di DesaStay Johor

Menarik di DesaStay di mana pelancong boleh menginap di dalam rumah kampung dan kemudian boleh sertai aktiviti kampung seperti aktiviti menangkap ikan, pertanian, kraftangan dan pelbagai lagi.

Operator DesStay pula akan diajar untuk memasarkan penginapan mereka, mempelbagaikan produk, memastikan tahap kebersihan dan keselamatan berada dalam keadaan sebaiknya.

Sebagai contoh di DesaStay Kampung parit Tengah, Batu Pahat ini, mereka sudah lama aktif dalam projek seperti ini. Mereka mempunyai tawaran yang pelbagai dari segi penginapan, aktiviti kampung dan juga beberapa aktiviti kemasyarakatan yang boleh turut di sertai oleh pelancong.

Menarik juga di DesaStay Kampung Parit Tengah ini bila ramai PakCik dan MakCik agak fasih berbahasa Inggeris dan boleh berinteraksi dengan mudah dengan pelancong luar negara.  

Anda yang tidak pernah merasai kehidupan sebagai orang kampung, ini masa anda untuk mencuba pengalaman bercuti di kampung dengan program DesaStay Johor.

Exit mobile version