makan dan minum cuma RM2
|“SHAH ALAM – Percaya atau tidak, anda boleh menikmati nasi putih berulamkan tiga atau empat jenis lauk, segelas air panas atau minuman sejuk dengan sepuasnya dengan hanya membayar RM2.
Ini bukan cerita rekaan, tetapi dengan nilai RM2 itu, Restoran Malaysia Negara Ku yang terletak bersebelahan Balai Polis, Seksyen 7, di sini, menjadikannya realiti.
Walaupun harga makanan yang ditawarkan murah, namun kualiti penyediaan makanannya tidak diabaikan malah menggunakan bahan masakan berkualiti dan memberi kepuasan kepada orang ramai yang singgah ke kedai berkenaan itu.
Pemiliknya, Datuk Zainal Abidin Awang Kechik ketika ditemui Sinar Harian berkata, tujuan utamanya membuka Malaysia Negara Ku sebagai memberi pilihan kepada orang ramai yang kurang berkemampuan menikmati hidangan makanan yang enak tanpa mengeluarkan bajet yang besar.”