Pelancaran Kuala Lumpur Bike Week 2016 Edisi Ke-9
|Siapa sangka, acara tahunan untuk mat motor di Malaysia kini memasuki tahun ke sembilan. MrJocko baru sahaja selesai bersama-sama dalam Pelancaran Kuala Lumpur Bike Week 2016 Edisi Ke-9 di Restoran Saloma Bistro, MaTic Kuala Lumpur. Acara tahunan anjuran Red Garage Enterprise ini nampaknya semakin terkenal.
Kuala Lumpur Bike Week 2016 atau KLBW2016 akan berlangsung pada 16 hingga 17 Disember 2016 nanti bertempat di Lanai Matic, Kuala Lumpur. Di tengah kesibukkan kotaraya Kuala Lumpur, anda bakal menyaksikan kumpulan mat motor dan minah motor berkumpul selama 2 hari disamping jualan barangan motorsikal, aksesori serta persembahan yang menarik.
Kuala Lumpur Bike Week 2016
Baca : MrJocko dan Kenderaan Dua Roda
Kuala Lumpur Bike Week kali ini nampaknya mendapat sokongan penuh dari Tourism Malaysia dan juga DBKL yang mana ia akan menjadi satu acara permotoran (motorsikal) yang terbesar di Malaysia setakat ini.
Tambah lagi, kali ini dengar-dengar akan ada sambutan dari pengunjung serantau Asia seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Australia, dan juga Amerika Syarikat. Nantikan juga kemunculan ‘Aksi Stunt Wanita’ terbaik dunia, Christina Lee Billing. Beliau dijangka akan membuat aksi stunt di sepanjang Jalan Ampang untuk semua pegunjung.
Antara nama-nama besar lain yang akan hadir ialah Lulut Wahyudi, Teddy Widjaja, Sumon Wittaya dan ramai lagi. Kalau anda peminat motorsikal, anda pasti akan mengenali nama-nama besar ini.
Trademark KL Bike Week akan tetap ada dengan dua acara yang baru iaitu ‘Batik Fun Ride’ dan juga ‘Warrior Charity Run’. Batik Fun Ride akan membawakan penunggang motor menunggang motorsikal mereka mengelilingi Kuala Lumpur dengan pakaian Batik dan Warrior Charity Run pula usaha untuk mengumpul dana bagi mengumpul Tabung Pahlawan Negara.
Antara penaja korporat bagi Kuala Lumpur Bike Week 2016 Edisi Ke-9 ini ialah Harley Davidson Kuala Lumpur, Victory Motorcycles Malaysia, Michelin Tyres Malaysia, BMW Motorrad, Petronas Motorsports dan lain-lain lagi.
Pelancaran Kuala Lumpur Bike Week 2016
YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz dalam ucapannya berkata, beliau sebenarnya teruja kerana sedar bahawa banyak lokasi-lokasi menarik di Malaysia dan juga luar negara datang dari pihak bikers. Weekend ride yang selalunya dilakukan oleh pihak bikers menjana ekonomi setempat dan memberikan publisiti yang bagus kepada destinasi-destinasi menarik di seluruh Malaysia.
“Banyak kedai makan yang menarik, pemandangan yang indah serta tempat-tempat pelancongan yang menarik, lebih dahulu diketahui oleh bikers berbanding orang biasa-biasa. Saya sendiri banyak mendapat feedback yang bagus tentang bikers yang banyak mempromosikan aktiviti pelancongan dalam Malaysia.”
Jadi, jangan lupa untuk sama-sama ke Kuala Lumpur Bike Week 2016 Edisi Ke-9 di Lanai Matic, Kuala Lumpur.