Pelancaran Pameran Matawang Works On Paper Art Inside Wallet
|Pelancaran Pameran Matawang Works On Paper Art Inside Wallet telah berlangsung di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Sasana Kijang BNM baru-baru ini oleh Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Bin Ibrahim, menandakan satu lagi koleksi unik yang patut anda hayati. Pameran yang mengetengahkan antara koleksi wang kertas terbaik di dunia ini, kini berada di Malaysia. Ia boleh anda lihat sendiri di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dalam bangunan Sasana Kijang.
Dalam dunia sekarang, hampir setiap orang akan pernah menggunakan matawang kertas, namun tidak ramai yang sedar bahawa setiap matawang kertas di dunia ini punyai nilai keunikkan yang tersendiri.
Baca : Masuk Free Ke Muzium Bank Negara Malaysia
Works On Paper Art Inside Wallet
Mungkin ramai tidak tahu bahawa matawang mempunyai banyak persamaan dan punyai nilai ‘seni’ art yang sangat unik. Setiap matawang di negara-negara tertentu mempunyai nilai yang tersendiri, kreatif, seni dan ‘ciri-ciri keselamatan’ yang tersendiri.
Pameran Matawang Works On Paper Art Inside Wallet atau Karya Kertas Seni Matawang dalam maksud Bahasa Melayu merupakan antara pameran terbaik setakat ini sedang berlangsung dari 4 Ogos hingga 30 November 2016.
Karya Kertas Seni Matawang
Pameran ini menampilkan pembaharuan kepada subjek yang agak lama. Wang kertas telah wujud berabad-abad lamanya dengan reka corak yang unggul serta penambahan ciri-ciri keselamatan. Karya Kertas : Seni Matawang ini mempamerkan kesenian sesuatu yang bersaiz kecil tetapi begitu mengagumkan serta cabaran-cabaran yang dihadapi oleh bank-bank untuk menghasilkannya. Ia merupakan peluang untuk memasuki dunia yang kurang terserlah dan lazimnya terlindung dalam dompet.
Walaupun wang kertas tidak diperhatikan dengan teliti, ianya mempunyai banyak persamaan dengan karya seni lain yang di atas kertas. Kedua-dua kategori ‘karya kertas’ ini penuh dengan pemikiran dan kreativiti. Kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan yang berkualiti serta dilengkapi dengan tandatangan yang kadangkalanya bertarikh. Walaupun saiz wang kertas tidak seperti kanvas biasa, namun terdapat banyak karya seni yang dihasilkan dalam dimensi kecil sepertinya.
Bank Negara Malaysia tidak pernah ketinggalan dalam mengeluarkan wang kertas yang unggul. Siri terbaharu ini berwarna-warni dan berinovatif seperti wang kertas yang lain dalam edaran. Malaysia memberi keutamaan kepada keselamatan wang kertas. Kepentingan ciri-ciri keselamatan ini menambah dimensi baharu kepada pereka, pencetak dan bank-bank yang bekerjasama untuk menghasilkan wang kertas yang paling asas. Pameran ini membawa anda ke dunia wang kertas yang lazimnya tersembunyi.
Karya Kertas : Seni Matawang
MrJocko secara peribadi sangat kagum dengan pameran Works on Paper Art Inside The Wallet ini. Dengan koleksi 30 matawang antara yang terbaik di dunia dipamerkan di sini ia adalah peluang terbaik kita, peminat seni dan matawang di Malaysia untuk mendekati dan meneliti keunikkan matawang-matawang ini. Matawang ini adalah koleksi matawang kertas dari Abad ke-14 hingga Abad ke-21 dari lebih 10 buah negara.
Jika anda berminat, boleh datang ke Muzium dan Galeri Seni di bangunan Sasana Kjang Bank Negara Malaysia bermula jam 10.00 pagi hingga jam 6.00 petang setiap hari. Masuk adalah PERCUMA.