Restoran Halal Musa Karim Di Ho Chi Minh Vietnam
|Sepanjang Jalan Malaysia, ada banyak pilihan restoran makanan Halal Muslim. Ada pelbagai menu utama yang dihidangkan disini termasuk Pho Daging Halal (Sup Mee Daging), Nasi Goreng dan banyak lagi. Kali ini, untuk makan malam, kami memilih untuk mencuba makanan di Restoran Halal Musa Karim Di Ho Chi Minh Vietnam. Sebab utama kami pilih restoran ini sebab ia terletak hanya beberapa meter dari hotel penginapan kami. Dekat.
Untuk informasi korang, tempat tumpuan utama untuk mendapatkan makanan halal di Ho Chi Minh ialah District 1 di mana ada banyak gerai dan restoran kecil di sekitar Masjid Pusat Saigon, Pasar Ben Thanh dan Masjid Nancy. Jika anda sudah berada dikawasan ini pasti boleh memilih mana-mana restoran halal di Ho Chi Minh untuk anda cuba makanan tradisi terkenal tetapi halal di Vietnam.
Baca : Tempat Shopping Murah Di Ho Chi Minh City
Restoran Halal Musa Karim Di Ho Chi Minh Vietnam
Ho Chi Minh City adalah bandar terbesar di Vietnam dan juga bekas ibu negara negara itu. Bandar ini dikenali sebagai Saigon dan merupakan salah satu tempat paling menarik untuk dikunjungi di Vietnam. Pelancong Muslim boleh menikmati percutian halal yang penuh keseronokan di Ho Chi Minh City kerana terdapat beberapa restoran dan masjid halal yang baik di bandar ini.
Kalau nak mudah sebenarnya, datang saja di Jalan Malaysia, pasti akan ada banyak restoran halal dan hotel friendly muslim di sini. InsyaAllah, ada banyak pilihan makanan dan menu halal boleh kita pilih selama bercuti di Vietnam.
Oleh kerana kami pernah cuba makan Pho Daging Halal Vietnam waktu sebelah petang, kami pilih untuk makan Nasi Goreng Seafood VND85000 (MYR15) dan Air Kelapa VND35000 (MYR7). Memang harga standard makanan berasaskan di sini bermula dari sekitar VND70,000 (MYR13) dan air minuman bermula dari VND30,000 (MYR5).
Terus terang nak bagitahu, harga makanan Halal di Ho Chi Minh ni sangat mahal, kalau nak dibandingkan dengan kualiti makanan dan minuman yang disediakan. Bukan nak komplen, tetapi harga makanan sepatutnya lebih rendah berbanding dengan kos sara hidup rakyat Vietnam yang jauh lebih murah.
Namun, itulah realiti kehidupan kalau kita melancong diluar negara. Kalau pandai cari boleh jumpa tempat yang murah dan berbaloi, tapi jika tak pandai cari, memang kena sembelih dengan kebanyakkan peniaga di sana.