Status Penyiasatan Terhadap Genneva Malaysia Sdn Bhd
|
TERKINI: Status Penyiasatan Terhadap Genneva Malaysia Sdn Bhd
Susulan serbuan baru-baru ini terhadap beberapa syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, agensi penguatkuasaan dengan ini memberikan maklumat terkini seperti yang berikut, khususnya berkaitan dengan penyiasatan terhadap Genneva Malaysia Sdn Bhd.
Laporan awal perakaunan forensik telah menunjukkan kerugian besar yang dialami syarikat itu pada tahun 2012 dan syarikat tersebut mempunyai liabiliti melebihi 10 kali asetnya. Operasi sebenar syarikat tersebut iaitu menjual emas pada kadar kira-kira 20-25 peratus lebih tinggi daripada pasaran, membayar pulangan kira-kira 2-3 peratus sebulan kepada pelanggan dan membeli balik emas daripada pelanggan pada harga asal belian emas tidak merupakan sesuatu yang dapat dikekalkan. Dalam keadaan sedemikian, aliran tunai yang membolehkan syarikat meneruskan operasinya banyak bergantung pada wang pelaburan daripada pelanggan baharu.
Dokumentasi yang disita menunjukkan bahawa lebih daripada 8,000 pelabur syarikat tersebut yang telah membuat pembayaran untuk pelaburan emas masih belum menerima emas mereka yang jumlahnya melebihi 4,000 kilogram. Selain itu, didapati bahawa terdapat pelabur yang telah menyerahkan emas mereka kepada syarikat tersebut tetapi masih belum menerima bayaran balik tunai yang jumlahnya melebihi RM80 juta.
Agensi-agensi penguatkuasaan telah menerima banyak rayuan daripada pihak yang terlibat dengan Genneva Malaysia Sdn Bhd untuk melepaskan wang yang dibekukan (RM99.8 juta) dan emas yang disita (126 kilogram) yang disimpan sebagai bukti (Nota 1) bagi kesalahan yang disyaki. Wang dan emas tersebut dikehendaki untuk tujuan penyiasatan dan hanya akan dilepaskan dengan arahan mahkamah.
Orang ramai dinasihati supaya merujuk kepada sesawang Bank Negara Malaysia untuk maklumat lanjut. Maklumat lanjut akan diberikan mengikut perkembangan siasatan. Semua usaha sedang dibuat untuk mempercepatkan siasatan bagi mencapai penyelesaian awal.
Kenyataan bersama oleh:
Bank Negara Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
3 Disember 2012
Sumber : Facebook Bank Negara
2 Comments
habis ler duit pelaburan tu.. kalau dpt pon berjanggut ler mau tunggu
Tah tah mati dulu