Site icon Travel Blogger Malaysia

Tempat Menarik Di Gold Coast Australia Wajib Lawat

Australian-Surfers-Paradise

Australian Surfers Paradise

Salah satu carian yang menarik minat pelancong di Malaysia tentang Australia ialah carian Tempat Menarik Di Gold Coast Australia. Ramai yang memang memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Gold Coast, Australia.

Antara lokasi pantai yang memutih dan terbaik menjadi tarikan ramai pelancong untuk ke sana. Selain keindahan pantai Gold Coast terkenal dengan beberapa lokasi tempat yang menarik untuk dilawati oleh pelancong.

Baca : Surfers Paradise Hard Rock Cafe

 


Tempat Menarik Di Gold Coast Australia Wajib Lawat

Main Beach di Surfers Paradise

Main Beach dikatakan pantai yang menjadi tumpuan utama bagi mereka yang ingin menikmati keindahan pantai di Gold Coast, melayari ombak dan juga mandi manda. Tarikan utaman Main Beach di Surfers Paradise ialah kerana lokasinya yang dekat dengan hotel dan kemudahan fasiliti yang lain. Ia memang lokasi pantai yang paling mudah untuk pelancong lawati. Pantainya yang panjang berpuluh kilometer dan pasir yang memutih akan memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.

 

 

Tempat Menarik Di Gold Coast, Australia
Tempat Menarik Di Gold Coast Australia

Main Beach Street

Lorong Main Beach ini akan mula dipenuhi dengan orang ramai serta pelancong bermula seawal jam 5 petang. Lokasi ini akan menjadi tumpuan tempat makan dan berhibur. Ada banyak Buskers, Ahli Silap Mata dan pelbagai jenis aktiviti yang mula hidup bila tiba waktu malam di Main Beach Street ini. Lokasi untuk ke sana memang mudah, boleh ambil sahaja mana-maian bas yang tertera Main Beach. MrJocko cuma berjalan kaki selama 5 minit sahaja dari hotel penginapan kami, Islander Hotel.

Skypoint, Observation Deck

Sky Point Observation Deck ini berada di tengah-tengah lokasi yang dikenali sebagai Main Beach. Anda cuma perlu bayar sekitar Aussie Dollar $22.00 untuk dewasa dan $13 untuk kanak-kanak. Apa yang anda boleh dapat di Skypoint Observation Deck ini? Di Observation Deck ini anda akan melihat 360 darjah keseluruhan Gold Coast dari ketinggian setinggi 75 tingkat atau sekitar ketinggian 225 meter. Di kedudukan ini, anda boleh melihat dengan jelas seluruh kawasan Gold Coast dan membawa sehingga 200 kilometer jauhnya. Hebat bukan???

Untuk anda yang suka dengan taman tema, lokasi yang anda boleh tuju ialah Sea World, Gold Coast. Di sini, terdapat pelbagai haiwan laut dikumpulkan khas untuk tontonan pelawat. Bukan itu sahaja, ada persembahan khas seperti Dolphin Show, Pet Detective dan banyak lagi untuk pengalaman anda selama berada di Sea World. Harga tiket ialah Aussie Dollar $89.99 dan ia untuk Pass Masuk untuk satu hari sahaja. Kalau anda beli untuk Group Booking, 20 orang dan lebih, harga bermula dari $43.00 sahaja.

Nak tengok apa yang ada di Sea World Gold Coast? http://www.mrjocko.com/2014/01/binatang-yang-ada-dalam-sea-world-gold-coast.html

Movie World Gold Coast

Lokasi Movie World Gold Coast terletak sejauh 20 kilometer dari Main Beach, Surfers Paradise. Untuk ke sana, anda boleh dapatkan khidmat teksi atau van pihak hotel, tetapi kalau nak murah, ambil sahaja Bas. Senang sahaja untuk dapatkan bas ke Movie World Gold Coast kerana kekerapan laluan dan masa yang tepat. Anda cuma perlu buat tempahan awal untuk tiket pergi dan pulang, jadi tak perlu tunggu lama.

Dreamworld Gold Coast

Ada rakan memberitahu bahawa Dreamworld merupakan taman tema yang punyai tarikan tersendiri. Ia terletak 25 kilometer dari Main Beach dan juga punya laluan bas yang kerap. MrJocko tidak berkesempatan ke sana kerana masa yang singkat. Next time, InsyaAllah boleh pergi bawa anak-anak ke sana. Untuk tiket masuk ke Dreamworld anda perlu bayar dari Aussie Dollar $59.99 melalui Online.

Wet N Wild Gold Coast

Taman Tema Air Wet ‘n’ Wild ini terletak bersebelahan dengan Movie World Gold Coast. Pun begitu, anda memang kena habiskan sehari di Movie World dan seharian di Wet ‘n’ Wild, baru anda akan puas. Taman tema air ini memang punyai banyak tarikan ‘ride’ yang menarik. Jadi jika anda memang jenis yang sukakan air, anda pasti mahukan pengalaman di Wet ‘n’ Wild Gold Coast.

Aquaduck Ride

Jika anda hanya berada di sekitar pusat bandar Gold Coast atau Main Beach, apa kata ambil peluang untuk pengalaman baru menaiki Aquaduck. Ia sebuah bas yang direka khas untuk membawa anda di darat dan juga air. Anda akan dibawa menaiki bas unik Aquaduck ini di jalanraya sekitar Gold Coast dan kemudian akan dibawa terus masuk ke air dan akan menjadi seperti sebuah bot di laut yang berhampiran. Anda boleh dapatkan pengalaman ini dengan hanya Aussie Dollar $35.00 untuk dewasa dan $26.00 untuk kanak-kanak.

Currumbin Wildlife Sanctuary

Jika anda ke Australia, anda mesti lihat dua haiwan ini, Kangaroo dan juga Koala.Kangaroo sememangnya haiwan yang menjadi ikon di Australia dan Koala juga memang terkenal di Australia. Di Currumbin Wildlife Sanctary ini terdapat banyak lagi haiwan lain yang anda boleh lihat termasuk buaya, burung dan haiwan-haiwan lain. Untuk tiket masuk, anda boleh dapatkan secara online dengan harga Aussie Dollar RM33.00. Untuk ke Currumbin Wildlife Sanctuary, anda perlu dapatkan pengangkutan atau menaiki bas kerana lokasinya yang berada sekitar 23 kilometer dari Main Beach.

Banyak lagi tempat menarik di Gold Coast yang boleh kita lawati. Untuk entry kali ini, MrJocko kongsikan beberapa tarikan utama yang menjadi pilihan tempat-tempat menarik di Gold Coast untuk di kongsi bersama rakan-rakan. Memang best kalau dapat ke Gold Coast, pastikan anda berada di sana sekurang-kurangnya seminggu. 

Untuk maklumat lanjut tentang tempat menarik di Gold Coast, anda boleh layari VisitGoldCoast

Exit mobile version